HULU TERENGGANU: Polis Terengganu tidak akan bertolak ansur dengan orang ramai yang merentas masuk ke negeri itu tanpa vaksinasi yang lengkap.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pemantauan akan dilaksanakan di lokasi tumpuan pelancong termasuk pulau peranginan, Tasik Kenyir dan pusat rekreasi.

Katanya, pasukan pemantau akan melakukan pemeriksaan sijil vaksinasi ke atas pengunjung.

“Kita tidak ada toleransi yang bergerak merentasi sempadan kerana kita tengok bahawa di Terengganu sudah mencapai 90 peratus yang telah divaksin.

“Jadi, tiada makna jika kita masih lagi saman setiap pergerakan mereka dalam negeri yang oleh tempatan tetapi yang jadi kerisauan kita daripada luar yang kita tidak tahu daripada mana puncanya itu yang kita lebih,” jelasnya.

Rohaimi berkata, meskipun tiada sekatan jalan raya di pintu sempadan negeri, namun pihaknya terus menggerakkan pasukan khas untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Selain itu, Rohaimi berkata setakat ini aliran trafik di Terengganu masih lancar dan terkawal walaupun berlaku peningkatan jumlah kenderaan yang memasuki negeri berkenaan.

Tambahnya, tiada sebarang kompaun berkaitan pelanggaran SOP dikeluarkan sejak kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri pada Isnin lalu.