KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran bertindak lebih tegas dengan tidak membenarkan dine-in di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengelakkan Malaysia menerima nasib sama seperti India.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, berdasarkan kajian antarabangsa, kedai makanan menjadi antara lokasi berisiko tinggi penyebaran jangkitan COVID-19.

"Pada ketika ini, kerajaan perlu mengutamakan kepentingan kesihatan rakyat berbanding kepentingan lain.

"Kita mesti pastikan, Malaysia tidak menjadi seperti di India. Kita seolah-olah sedang menghampiri situasi di sana," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan sesetengah pihak yang mahu kerajaan membenarkan pelanggan makan di kedai atau restoran sepanjang tempoh PKP ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa makan di restoran atau dine-in di kawasan PKP adalah tidak dibenarkan.

Zainal Ariffin yang sependapat berkata, orang ramai masih mempunyai pilihan untuk melakukan pesanan makanan secara dalam talian, pandu lalu atau dibungkus untuk dibawa pulang. 

Menurutnya, meskipun sistem kesihatan negara antara yang terbaik di dunia namun kerajaan masih perlu bertindak dengan tegas dalam hal-hal pencegahan.