Tidak patuh syarat EIA, pemaju projek pembangunan didenda RM50,000

Dewi Nur Harasha Alias
September 13, 2021 10:47 MYT
Semua projek yang telah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) hendaklah sentiasa mematuhi setiap syarat yang ditetapkan dan setiap ketidakpatuhan akan diambil tindakan yang sewajarnya. - Gambar ihsan JAS P. PINANG
BUTTERWORTH: Pemaju projek pembangunan di Pulau Pinang didenda RM 50,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth selepas didapati gagal mematuhi syarat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).
Menurut Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab, hukuman berkenaan diputuskan Hakim Noor Aini Yusoff selepas syarikat terbabit mengaku salah di mahkamah hari ini.
Pemaju berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 34A(7), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan) 2012 apabila telah melepaskan 130mg/l (milligrams per liter) manakala had yang dibenarkan adalah 50mg/l.
"Berdasarkan pemeriksaan JAS ke atas projek terbabit yang terletak berhampiran dengan sebuah kompleks beli-belah di daerah Barat Daya itu mendapati, pelepasan takat akhir di sempadan projek adalah melebihi had parameter kepekatan pepejal terampai yang ditetapkan dalam syarat kelulusan EIA.
"Sehubungan itu katanya, mahkamah mendapati penggerak projek telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 34A(7), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan) 2012 dan dihukum di bawah Seksyen 34A(8) Akta yang sama," kata beliau dalam kenyataan pada Isnin.
Bagi kesalahan itu, syarikat boleh dikenakan denda maksima RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima (5) tahun atau kedua-duanya dan denda tambahan RM 1,000 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan.
Sementara itu, Sharifah Zakiah mengingatkan semua projek yang telah mendapat kelulusan EIA hendaklah sentiasa mematuhi setiap syarat yang ditetapkan dan setiap ketidakpatuhan akan diambil tindakan yang sewajarnya.
Malah pemaju juga diingatkan untuk meningkatkan langkah-langkah hakisan dan kelodakan khususnya menjelang musim tengkujuh.
Tegasnya, JAS akan terus melakukan pemantauan ke atas projek-projek pembangunan yang tertakluk kepada keperluan EIA.
"Penggunaan dron sedikit sebanyak membantu kita dalam mengesan ketidakpatuhan projek atau premis terutama kawasan yang sukar diakses dan kawasan berskala luas," katanya lagi.
#pemaju projek pembangunan #gagal mematuhi syarat #Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling #Mahkamah Sesyen Butterworth