KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan ketika menaiki kapal terbang.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan menjelaskan protokol bahari itu berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun Khairy menjelaskan, KKM amat menggalakkan individu yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema terus mengamalkan pemakaian pelitup muka.

"Individu berisiko tinggi seperti warga tua, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah, ibu mengandung dan individu yang mengembara bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak juga digalakkan terus memakain pelitup muka," katanya.

Menurut Khairy, keputusan itu dibuat menggunakan pendekatan berasaskan risiko dan telah mengambil kira penambahbaikan dalam teknologi kapal terbang serta beban kes COVID-19 di negara ini yang lebih terkawal ketika ini.

Selain itu, kelonggaran ini juga adalah selaras dengan syor kesihatan daripada negara-negara seperti Kesatuan Eropah, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Singapura.

Keperluan pemakaian pelitup muka di dalam kapal terbang bagaimanapun masih tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh negara yang dikunjungi.