KUALA LUMPUR: Blok pembangkang hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan yang membawa usul agar Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 dibahaskan di Dewan Rakyat.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu bercanggah dengan Perkara 107 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan kerana LKAN perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat.

Selain itu, Ahli Parlimen Kota Bharu itu tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan berkenaan dibuat bagi 'menghalang' usul persendirian yang dibawa oleh pembangkang dibahaskan di Dewan Rakyat.

"Itulah kita tak nampak rasional kenapa kerajaan sebelum ini tidak pernah membentangkan untuk dibahaskan (LKAN), hanya letak atas meja... berkemungkinan kami membayangkan kerana tak ada Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan.

"Jadi bila dah tiada, tak akan nak tangguhkan (persidangan) dewan pukul 1?

"Kita ada satu RUU persendirian. Kita mengesahkan (halang usul persendirian pembangkang) mungkin begitu. Kita ada satu RUU persendirian di bawah 'standing order' 49 tetapi sehingga hari ini tidak disahkan ia akan diangkat," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Dakwa Takiyuddin lagi, amalan dalam Parlimen Malaysia, LKAN tidak pernah dibahaskan di Dewan Rakyat, sebaliknya jika terdapat teguran-teguran oleh ketua audit, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bertanggungjawab memanggil saksi-saksi termasuk menteri untuk memberikan keterangan.

"Pada hari ini (pembangkang) agak kecewa kerana timbalan speaker membuat 'ruling' membenarkan usul dibawa untuk dibahaskan.

"Lalu kami di pihak pembangkang, oleh kerana kami melihat di dalam usul ini, (tertera) di para akhir supaya dewan yang mulia ini, semua pihak menyokong (laporan) audit.

"(Maka) kami memang menyokong dan menghormati laporan audit yang dibuat secara telus dan mengatakan tak perlu dibahaskan serta menyokong (segala cadangan) yang dikemukakan dalam laporan berkenaan," tambah Takiyuddin.

Sebelum itu, Dewan Rakyat kecoh selepas beberapa ahli Parlimen pembangkang membantah agar LPAN 2021 dibahaskan.

Antara yang bangkit mempertikaikan tindakan itu ialah Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang membangkitkan Peraturan 77(1)(c) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, berkaitan fungsi dan tugas PAC.

Usul berkenaan tersenarai sebagai usul pertama dalam aturan mesyuarat pada Selasa.