Tindakan mana-mana parti atau pihak membawa pengundi pulang ke kawasan mengundi bukan satu kesalahan selagi pengundi berkenaan tidak dipaksa mengundi calon atau parti tertentu, kata Suruhanjaya Pilihan Raya.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tindakan itu tidak menyalahi undang-undang mengikut undang-undang pilihan raya.

"Ia bukan kesalahan mengangkut pengundi ini, tetapi jika pengundi yang diangkut tersebut dipaksa supaya mengundi calon tertentu ia adalah kesalahan" katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Abdul Aziz menambah, tindakan mengangkut pengundi itu sebaliknya adalah baik kerana membantu memudahkan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor sebelum ini membuat pengakuan bahawa "rakan-rakan" Barisan Nasional menaja penerbangan pengundi di Sabah dan Sarawak untuk pulang ke Semenanjung pada pilihan raya umum nanti.

Jelasnya sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai perkara tersebut.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat lebih 40 ribu pengundi diragui, termasuk dari Sabah dan Sarawak telah diterbangkan masuk ke negeri-negeri utama di Semenanjung semenjak minggu lalu.

Abdul Aziz dalam masa sama turut memberi amaran kepada semua pihak untuk tidak menahan mana-mana individu yang disyaki warga asing semasa hari pengundian.

"Jangan 'jugde' individu tertentu yang kelihatan seperti warga asing, kita tidak boleh tahan sesiapa, 'citizen arrest' pun tidak..yang boleh tahan semasa hari mengundi hanya SPR dan polis sahaja," katanya.