PUTRAJAYA: Tidak menyediakan penginapan yang sesuai dan majikan disenarai hitam adalah antara faktor permohonan pekerja asing tidak diluluskan, kata Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar.

Pada tahun lepas, katanya sebanyak 43 peratus atau 676,070 permohonan kuota pekerja asing telah diluluskan berbanding 1.6 juta permohonan yang diterima.

"Memang ada sebabnya, bukan saja-saja tolak, ada banyak kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi-agensi kawal selia, banyak kriteria kita lihat sebelum permohonan (diluluskan).

"Kita tidak boleh bawa masuk pekerja begitu sahaja dalam satu keadaan majikan tak sediakan penginapan sesuai. Kesannya amat buruk pada negara, imej negara akan terjejas kerana orang melihat kita, kemudian keadaan itu akan menyebabkan masalah pada negara kita," katanya dalam sesi ramah mesra bersama media, di sini hari ini.

Sivakumar berkata pada masa ini, terdapat kira-kira 1.4 juta pekerja asing yang sah di dalam negara.



SIVAKUMAR-PEKERJA 2 (AKHIR) PUTRAJAYA



Beliau berkata dalam suku pertama tahun ini, jumlah pekerja asing dijangka sama seperti sebelum pandemik COVID-19 iaitu 1.9 juta orang.

"Dengan kelulusan kuota sedia ada, kita sudah pun hampir capai tahap sama sebelum pandemik. Ketika pandemik ramai yang sudah balik (ke negara asal) sebab itu kita mengalami kekurangan pekerja asing.

"Apa yang boleh kita bantu, kita cuba yang terbaik terutama dari segi tempoh masa, dari masa dia mohon sampai dia dapat pekerja. Kita cuba lakukan yang terbaik untuk memendekkan tempoh masa," katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata pengurusan pekerja asing antara KDN dengan KSM dijajarkan semula dalam usaha mengurangkan tempoh masa pengambilan pekerja asing kepada kurang 30 hari.

-- BERNAMA