ALOR SETAR: Dua lelaki disyaki tokan tidak sempat mengedar dadah apabila ditahan polis dalam serbuan di hadapan sebuah kedai dobi, Jalan Raya, Guar Chempedak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin berkata, serbuan dilakukan jam 10.15 pagi Rabu berdasarkan maklumat yang diterima.

Beliau berkata, dua lelaki terbabit masing-masing berusia 28 dan 29 tahun dan hasil pemeriksaan dalam poket seluar salah seorang suspek, polis menemui satu peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 0.66 gram.

"Pada hari sama, kira-kira jam 10.45 pagi, bertindak atas maklumat suspek pergi ke sebuah rumah di Kampung Baru, Lorong Kilang Papan, Guar Chempedak.

"Hasil pemeriksaan dalam bekas besi di atas rak kayu di hadapan rumah terbabit menemui empat bungkusan plastik lutsinar berisi bahan ketulan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat lebih 1.6 kilogram (kg)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Taufik berkata, keseluruhan rampasan dadah bernilai RM24,200.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis metamfetamin dan mempunyai rekod kesalahan lampau.

"Susulan dari tangkapan dan rampasan dadah, JSJN Kedah turut menyita barangan milik suspek iaitu seutas rantai berwarna kekuningan bernilai RM2,550 dan kenderaan Toyota Vios bernilai RM19,000.

"Keseluruhan barang disita bernilai RM21,550 dan suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut," katanya.

Mohd Taufik berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, kejayaan ini adalah hasil usaha Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dalam memastikan aktiviti pengedaran dadah berbahaya berjaya ditumpaskan.

"Pihak polis juga sentiasa memerlukan kerjasama serta pembabitan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka kepada pihak polis," katanya.