KUALA LUMPUR: Kejadian pencemaran air yang mengakibatkan gangguan bekalan air secara statistiknya kecil, iaitu hanya 19 insiden berbanding keseluruhan 210 kes pencemaran air yang direkodkan antara tahun 2020 hingga 2022.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Abas Abdullah berkata statistik juga menunjukkan kadar pencemaran air menurun dalam tempoh yang sama.

“Pada tahun 2020 daripada 94 kes pencemaran, hanya 8 kes melibatkan gangguan bekalan air. Pada tahun 2021 daripada 63 kes pencemaran, hanya 3 kes melibatkan gangguan bekalan air. Manakala, pada tahun 2022 daripada 53 kes pencemaran, hanya 8 kes melibatkan gangguan bekalan air.

Tidak semua insiden pencemaran akibatkan gangguan bekalan air - Air Selangor

“Ini kerana kami telah mengambil langkah-langkah proaktif dimana pasukan Air Selangor bersama-sama pasukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah membuat pengawasan yang kerap di kawasan-kawasan yang berpotensi untuk berlaku pencemaran,” katanya dalam program Agenda AWANI.

Abas mengakui isu pencemaran air merupakan satu cabaran yang besar yang perlu dihadapi dan ditangani. Oleh yang demikian pemegang taruh diperingkat Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Sementara itu, menyentuh mengenai insiden paip pecah, Abas berkata 55 peratus kes paip pecah di Lembah Klang adalah merupakan saluran paip usang yang berusia sekitar 30 tahun. Katanya, Program Penukaran Paip telah bermula sejak 2016 sehingga hari ini.

“623.99 km paip telah siap dipasang dan 552.27 km daripadanya sudah diaktifkan di 262 lokasi kritikal. Hasilnya, kami telah berjaya mencapai Indeks Paip Pecah atau Pipe Burst Index (PBI) pada 5.35 kes paip pecah bagi setiap 100 km. Lebih rendah daripada penanda aras antarabangsa PBI iaitu 13 kes paip pecah bagi setiap 100 km,” ujarnya lagi.

Agenda AWANI: Kelestarian Air | Apa 'plan' Air Selangor?