KOTA KINABALU: Tidak timbul isu kekurangan bekalan vaksin di Sabah buat masa ini, kata Datuk Shahelmey Yahya.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah itu berkata, bekalan vaksin COVID-19 di Sabah adalah mencukupi dengan 994,340 dos bekalan sedia ada, setakat 30 November.

Menurutnya, unjuran populasi penduduk di Sabah yang menggunakan statistik tahun 2010 dari Jabatan Perangkaan Malaysia merupakan antara faktor yang menjadi penyumbang kepada kadar vaksinasi yang rendah di negeri ini.

"Pada masa ini, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) masih menunggu hasil bancian tersebut. Penyelarasan pencapaian sebenar kadar vaksinasi hanya dapat diketahui dengan adanya hasil bancian daripada Jabatan Perangkaan Malaysia dalam masa terdekat ini.

"Kemungkinan besar warga asing telah kembali ke negara asal mereka, terutamanya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada tahun 2020," katanya bagi menjawab pertanyaan daripada Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP-Adun Dilantik), semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Isnin.

Sementara itu, menjawab soalan daripada Datuk Christina Liew (PKR-Api-Api), Shahelmey berkata, sebanyak 561 Program Outreach di bawah Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Sabah telah dilaksanakan di bawah CITF Daerah melibatkan kerjasama antara Jabatan Penerangan Negeri Sabah (JPNS), JKNS, Pejabat Daerah, Jabatan Perpaduan Negara (JPNIN) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPMM) yang meliputi 468 kampung yang terlibat di negeri ini.

"Melalui program ini sebanyak 270,482 orang telah divaksin. Untuk makluman, Program Outreach CITF telah berakhir pada 15 Oktober 2021 dan program vaksinasi ini masih diteruskan oleh JKNS.

"Untuk daerah Tawau, Program Outreach telah dilaksanakan di 87 kampung dengan melibatkan 16,309 orang yang telah lengkap divaksin," katanya.

Tambah Shahelmey, Program Rapid Assesment And Vaccination Operation (RAVO) telah dilaksanakan di enam daerah di Sabah, bermula pada 1 Oktober lalu dengan melibatkan 952 lokaliti dk mana pencapaian kadar vaksinasinya masih rendah.

"Daerah-daerah yang terlibat ialah Kinabatangan, Kunak, Tawau, Tongod, Sandakan dan Nabawan. Hasil daripada penyiasatan pasukan RAVO ke lokaliti-lokaliti di enam daerah tersebut telah mendapati bahawa sebanyak 99.42 peratus daripada responden yang layak menerima vaksin telah pun lengkap divaksin.

"Untuk daerah Tawau, setakat 23 November lalu, menerusi RAVO yang telah dilaksanakan di 310 lokaliti dengan melibatkan 124,663 populasi. Daripada 124,663 populasi tersebut, 96,291 orang dewasa layak divaksin bagaimanapun, hanya seramai 2,320 orang telah diberi vaksin melalui operasi RAVO tersebut.

Jelasnya, perkara ini menunjukkan bahawa majoriti penduduk sudah menerima vaksin menerusi program CITF sebelum itu.