HULU TERENGGANU:Kampung Lubok Batu, Pelam dan Kuala Telemong merupakan kampung yang terletak di daerah Hulu Terengganu dan mula menjadi perhatian sejak peristiwa tragis pembunuhan seorang remaja pada pagi Ahad 1 November lalu.

Kisah itu tidak hanya terhenti di situ apabila ia membabitkan seorang suspek yang juga pelajar yang dianggap cemerlang dan berpotensi dalam pelajaran.

Pelajar perempuan itu kini sedang direman bagi membantu siasatan.

Bukan kisah tragik yang berlaku yang mahu diketengahkan tetapi dakwaan pelbagai pihak bahawa antara faktor pelajar terbabit gagal memasuki institusi pengajian tinggi adalah faktor kemiskinan.

Sejauh mana kebenaran dakwaan itu tidak dapat dipastikan.

Ini kerana dalam era ini, dakwaan sedemikian jika dibandingkan dengan apa yang tercatat dalam falsafah pendidikan adalah sesuatu yang sukar diterima.

Mendekati masyarakat setempat, pelajar Tingkatan Enam itu sememangnya boleh dianggap pelajar cemerlang.

"Budak ini dikira cemerlang dalam pelajaran. Pelajar yang dikira cerdik jugalah, dari segi pergaulan tu memang dua-dua ni tidak ada masalah. Kalau di sekolah tu saya tak tahulah." Roslina Omar, 41, yang ditemui Astro AWANI.

Bagaimanapun jika dikatakan ada pelajar yang tercicir ke universiti kerana kemiskinan adalah dakwaan kurang tepat.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan berkenaan, Datuk Rozi Mamat  mengakui tidak timbul masalah pelajar miskin gagal ke Universiti.

"Mana-mana pelajar-pelajar yang dapat melanjutkan pelajaran ke IPTA atau IPTS, kerajaan negeri (Terengganu) sudah menyediakan kalau peringkat ijazah RM1,000.00 seorang hanya untuk duit saku,kalau diploma RM700 dan sijil RM500.

‘’Macam kita ini sebagai wakil rakyat dulu ke kini, kalau mereka datang kita bantulah. Malah ada yang datang tidak mampu beli pakaian pun kita akan bantu,’’ katanya.

Malah ia turut disokong oleh seorang pelajar yang sudah menamatkan pengajian di luar negara, Nurain Hidayani Saragi Abdul Rahman yang mendapat bantuan untuk melanjutkan pelajaran ke University of Essex di United Kingdom dalam bidang ekonomi pada 2016 hingga 2019.

"Cumanya hendak cakap kat sini walaupun kita orang miskin ramai yang akan tolong JKK, AJK kampung, Jabatan Pelajaran Negeri memang dapatlah pertolongan daripada mereka.

‘’Walaupun orang susah tak semestinya tidak boleh sambung pelajaran," katanya ketika ditemui di Kampung Pelam.

Astro AWANI turut menghubungi Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Salim Ab Ghani untuk bertanyakan apakah prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan oleh pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri bagi mengendalikan pelajar yang berdepan masalah sama ada dalam pelajaran atau di luar waktu sekolah.

"Secara logiknya kita di negeri Terengganu ini kalau untuk pelajar masuk ke universiti misalnya kita ada pelbagai pihak seperti MAIDAM dan Yayasan Terengganu akan bantu dan ada banyak lagi dengan swasta sebagainya.

‘’Saya rasa tiada isu itu kalau miskin tidak boleh belajar sebenarnya. Kecuali kalau dari segi sikap dia sendiri itu kita tidak boleh buat apalah.

"Saya pun tidak tahu secara terperinci pelajar ini, tentu ada laporan (mengenai masalah pelajar) yang dihantar tetapi  tidak semua masalah kita boleh campur terutama hal keluarga,’’ katanya kepada Astro AWANI.

Bagaimanapun Salim yakin, pihak sekolah sudah mengambil segala langkah perlu termasuk menyediakan khidmat kaunselor serta meminta bantuan agensi luar.