KUANTAN: Tiga cedera apabila kereta yang dinaiki terbabas ke dalam gaung di Kilometer (KM) 201.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT 1) menghala Kuala Lumpur, di sini, pada Khamis.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.47 malam.

Seramai 13 anggota termasuk dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas dan Gambang bergegas ke lokasi kejadian.

"Sampai di lokasi kejadian, benar berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta Toyota Avanza terbabas ke dalam gaung sedalam lima meter.

"Dalam kemalangan itu, dua wanita dewasa dan seorang warga emas lelaki yang mengalami kecederaan telah diberikan rawatan awal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, kesemua mangsa dibawa ke hospital berdekatan, dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut