KUCHING: Tiga daripada 5,291 kes harian di Sarawak hari ini hanya melibatkan Kategori 3 hingga 5 sekali gus 99.94 peratus adalah tergolong dalam kategori ringan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak turut menjelaskan, 5,291 kes hari ini merupakan saringan ke atas 28,065 sampel.

Malah, peningkatan kes di Sarawak juga disebabkan aktiviti pengesanan aktif kontak kepada kes di semua bahagian di Sarawak.

"Kuching kekal menjadi penyumbang utama kes tertinggi di Sarawak mengikut daerah dengan 1,845 kes.

"Ia diikuti Serian dengan 620 kes; Sibu (436); Bintulu (435) dan Bau 212 kes," jelas kenyataan itu pada Ahad.

Mengenai saringan kes COVID-19 hari ini, 3,895 kes melibatkan individu yang mempunyai kontak rapat; 389 kes individu dalam kluster sedia ada; 514 saringan individu bergejala; 486 lain-lain saringan manakala tujuh melibatkan saringan individu tiba di Sarawak.

Kemas kini JPBN Sarawak hari ini turut memaklumkan lapan kematian melibatkan pesakit mengalami ko-morbid berusia 31 hingga 86 tahun.

Selain itu, satu kluster baharu iaitu Kluster Nanga Lasi Mit, di Julau yang mana 84 termasuk kes indeks didapati positif.

"Kluster ini merupakan kluster komuniti yang dikesan melibatkan penduduk di dua buah rumah panjang yang berdekatan  terletak di kawasan Nanga Lasi Mit, Julau.

"Daripada 224 individu disaring, 84 penduduk didapati positif manakala 140 negatif," katanya.