Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan tiga elemen penting yang diambil kira dalam memperkasa Akta Hasutan 1948.

Elemen itu ialah hasutan di internet terutama media sosial, sensitiviti keagamaan serta isu membawa keluar Sabah serta Sarawak dari Malaysia.

Beliau berkata elemen tersebut perlu diambil kira kerana ia amat penting dalam mengukuh perpaduan dan keharmonian antara rakyat berbilang latar belakang.

"Ini (tiga elemen itu) merupakan sebahagian daripada banyak elemen yang kita teliti bagi memperkasa Akta Hasutan.

"Perbincangan dilakukan bersama penasihat undang-undang Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara untuk melihat apa yang perlu diperkasa dan dipinda.

"Pindaan akta ini dijangka dibentang di Parlimen pada Mac tahun depan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program 'From Bikers 4 Gaza' dan Karnival Motosikal Melaka di Autocity, Ayer Keroh hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye.

Ahmad Zahid berkata hasutan di internet terutama di media sosial tidak boleh dibiarkan berlaku begitu sahaja dan perlu dibendung supaya ia tidak menjadi barah perosak keharmonian negara.

"Akta Hasutan diperkenalkan pada 1948 yang mana pada waktu itu tiada internet. Maka akta ini perlu dipinda bagi mengambil kira bentuk komunikasi Internet, juga bentuk komunikasi moden yang lain," katanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 merupakan akta khusus bagi menangani salah laku internet dan pihak polis sentiasa bekerjasama dengan pihak bertanggungjawab iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menangani salah laku itu.


Tiada kompromi isu Chin Peng

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan tidak akan sama sekali berkompromi dalam sebarang desakan untuk membawa pulang abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

"Kita tidak benarkan sama sekali (bawa pulang abu mayat) kerana kita amat hormati sensitiviti anak dan cucu-cicit anggota tentera, polis dan juga rakyat Malaysia sekarang yang mana anggota keluarga mereka terkorban angkara kekejaman Chin Peng dahulu," katanya.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan desakan sebuah badan bukan kerajaan yang mahu kerajaan Malaysia menghormati 'Hatyai Peace Accord' pada 2 Disember 1989 yang dicapai antara PKM dan kerajaan Thailand, dengan membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.