ALOR SETAR: Tiga jururawat wanita yang bertugas di sebuah hospital swasta di Sungai Petani masing-masing dikompaun RM4,000 malam tadi kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata pihak polis mengesan mereka yang berumur antara 34 dan 45 tahun itu menyampaikan sumbangan kepada rakan mereka yang sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

"Hasil soal siasat berpandukan gambar yang tular dalam Facebook ini, didapati ketiga-tiga mereka ini tidak mematuhi SOP PKP dan telah dikeluarkan tindakan kompaun.

"Polis mengesan penama Facebook tersebut pada 9.10 malam dan penama ini mengaku telah pergi bersama dua orang lagi rakannya ke rumah rakan yang memakai 'gelang pink' ini di Kampung Pulau Tengah, Sungai Petani, dan ketiga-tiga jururawat ini hadir di balai polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata kompaun dikeluarkan terhadap jururawat itu mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021 (Aktiviti Terlarang Nombor 1).

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai untuk sentiasa mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam apa jua aktiviti sekali pun termasuk untuk tujuan kebaikan.

-- BERNAMA