Tiga kes terbaharu positif COVID-19 di Sarawak libatkan sebuah keluarga

Syafik Shukri Jalil
Jun 16, 2020 08:24 MYT
Ketiga-tiga kes tersebut dilaporkan di daerah Bintulu melibatkan sebuah keluarga hasil daripada saringan dan pengesanan kontak kepada kes 557. - Foto Astro AWANI
Sarawak hari ini mencatatkan tiga kes positif COVID-19 terbaharu menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 560 kes.
Ketiga-tiga kes tersebut dilaporkan di daerah Bintulu melibatkan sebuah keluarga hasil daripada saringan dan pengesanan kontak kepada kes 557.
Laporan diumumkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Selasa.
Selain itu juga tiada kes yang dilaporkan sembuh dan telah discaj untuk hari ini.
“Jumlah kes positif COVID-19 yang telah sembuh dan discaj kekal 534 orang atau 95.36 peratus dengan sembilan kes masih menerima rawatan di wad isolasi,” tambah kenyataan itu.
Manakala seramai 195 kes Person Under Investigation (PUI) baru turut dilaporkan dan 14 kes masih menunggu ujian makmal.
Antara lain menerusi kenyataan sama, JPBNS juga telah menerima prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan Kementerian Kerajaan Tempatan bagi pembukaan kedai gunting rambut dan salun kecantikkan di negeri itu.
SOP tersebut akan berkuatkuasa bermula 17 Jun 2020 dan ia boleh dimuat turun di laman web Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak.
#Bintulu #COVID-19 #JPBNS #kes positif #Person Under Investigation #PKPP #Sarawak #SOP