Tiga koperasi pada Ahad menerima bantuan berjumlah RM3 juta dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Bantuan tersebut adalah bagi pemulihan koperasi yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.

Ketiga-tiga koperasi yang menerima bantuan masing-masing RM1 juta ialah, Koperasi Sawah Sempadan Tanjung Karang Berhad, Koperasi Jabatan Penjara Malaysia dan Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad.

Replika cek disampaikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, kepada wakil ketiga-tiga koperasi pada majlis perasmian pembukaan Malakat Mall di sini pada Ahad.

Dalam ucapannya beliau berkata, koperasi yang mempunyai kemampuan dari segi dana harus mengambil kesempatan untuk meningkatkan pemilikan saham syarikat, yang kini pada harga rendah ekoran pasca pandemik COVID-19.

-- BERNAMA