Tiga lagi jenazah mangsa tragedi MH17 akan tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Jumaat ini pada jam 8.30 pagi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ketiga-tiga jenazah itu akan diberikan istiadat penghormatan jenazah yang penuh seperti sebelum ini.

Ketiga-tiga jenazah yang bakal tiba itu adalah Allahyarham Muhammad Afzal Tambi, Allahyarhamah Marsha Azmeena Tambi dan Allahyarham Shaikh Mohd Noor Mahmood.

“Pakar forensik di Belanda juga telah mengenal pasti mayat Liew Yau Chee, Tan Siew Poh, Meling anak Mula, Metthew Ezekial Sivagnanam dan Lee Kiah Yeen, namun pengumuman mengenai bila ia akan dibenarkan dibawa pulang belum lagi diumumkan,” kata Liow.

Setakat ini, seramai 224 penumpang MH17 telah dikenal pasti dan 74 lagi masih sedang dalam proses pengecaman.

Daripada 44 rakyat Malaysia di dalam pesawat itu, 41 orang telah dikenal pasti.