LIPIS: Tiga lagi suspek kes pukul seorang pelajar dan seorang guru pusat tahfiz di Jalan Cheneras  di sini yang tular di laman sosial semalam ditahan polis awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, dua suspek termasuk suspek utama telah di tahan di Perhimpunan Yamaha RXZ Member 4.0 di Terengganu pukul 2 pagi tadi manakala seorang lagi di tahan di Felda Lepar Utara 1, Jerantut sekitar pukul 8 pagi.

"Kita telah membentuk tiga pasukan melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Terengganu, JSJ Kontinjen Pahang dan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis bagi mengesan ketiga-tiga suspek.

"Ketiga-tiga suspek berusia 30-an dibawa ke IPD Lipis untuk proses dokumentasi sebelum mendapat perintah tahanan reman dari mahkamah. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan kawasan," katanya dalam sidang media di IPD Lipis, di sini, hari ini.

Menurut Azli, ketiga-tiga suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis heroin dan turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain kesemuanys turut memiliki  rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, kejadian dipercayai berpunca akibat suspek tidak berpuas hati terhadap penjaga pusat tahfiz berkenaan berkaitan pembayaran makanan.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri selain perlu berbincang terlebih dahulu sekiranya timbul tidak puas hati terhadap pengurusan pusat tahfiz.

"Tindakan membuat serangan fizikal dan menceroboh pusat tahfiz adalah salah di sisi undang-undang malah  kawasan tersebut terdapat pelajar bawah umur yang dilindungi di bawah Akta Kanak-kanak," katanya.

Azli dalam pada itu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana membantu dan berkongsi maklumat sehingga tertangkapnya suspek.

“Saya menganggap kes ini telah selesai dan berharap  orang ramai supaya tidak  membuat  sebarang spekulasi  selain perlu  mendapatkan maklumat sahih dari pihak polis berkaitan perkara yang tular di laman sosial," katanya.