MELAKA: Tiga laluan di Banda Hilir akan ditutup sementara Jumaat ini sempena sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata ia melibatkan Jalan Kota dan Jalan Taman (berhampiran Menara Taming Sari) bermula 6 petang hingga 12 tengah malam manakala Jalan Parameswara iaitu dari hadapan bekas bangunan Hotel Equatorial hingga ke tapak program bermula 7.30 malam hingga 12 tengah malam.

"Kita jangka kira-kira 20,000 kenderaan akan masuk ke kawasan Banda Hilir yang merupakan pusat tumpuan pelancong pada Jumaat ini berbanding purata kira-kira 10,500 kenderaan sehari pada cuti hujung minggu.

"Polis Melaka telah membuat persiapan rapi menerusi beberapa pendekatan yang telah dirangka bagi memastikan sambutan Hari Malaysia kali ini berjalan lancar dan aspek keselamatan diberi keutamaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata 336 pegawai dan anggota ditugaskan sempena sambutan berkenaan, meliputi tugasan mengawal aliran trafik dan kawalan keselamatan di sekitar kawasan Banda Hilir dan tapak program.

Christopher turut menasihatkan orang ramai yang ingin menghadiri majlis sambutan Hari Malaysia 2022 supaya datang awal dan meletakkan kenderaan mereka di parkir yang disediakan di sekitar kawasan berhampiran.

"Lebih 2,000 tapak parkir disediakan di sekitar Bandar Hilir dan terdapat bas ulang alik yang akan mengambil pengunjung di tempat parkir tersebut untuk ke tapak sambutan Hari Malaysia.

"Polis juga akan melakukan rondaan berkala di kawasan parkir kereta bagi memastikan keselamatan kenderaan yang ditinggalkan termasuk di kawasan Pulau Melaka terjamin dan orang ramai juga dinasihatkan tidak meninggalkan barangan berharga di dalam kenderaan mereka," katanya.

Orang ramai juga diminta memberi kerjasama dengan pihak berkuasa khususnya polis dengan mengikut arahan atau tunjuk arah yang diberikan serta peraturan sedia ada bagi memastikan kelancaran aliran trafik, katanya.

-- BERNAMA