BUKIT MERTAJAM: Tiga lelaki masing-masing didenda RM1,000 di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam kerana terlibat dalam pergaduhan di perkarangan sebuah restoran nasi kandar popular di Taman  Chai Leng, Perai pada 7 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San dalam satu kenyataan hari ini, berkata tiga lelaki berkenaan mengaku bersalah selepas dituduh di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan, semalam.

Menurut Cheng San, polis sebelum itu menahan seramai 15 lelaki warga tempatan berusia 20-an dan 30-an namun hanya tiga suspek dituduh manakala selebihnya dibebaskan kerana tidak terlibat dalam pergaduhan di premis terbabit.

"Polis masih lagi menjalankan siasatan bagi mengesan suspek terlibat dalam insiden berkenaan yang masih bebas," katanya.

Pada 10 Ogos lepas, tular  empat rakaman video di laman Facebook sekumpulan lelaki bergaduh di hadapan sebuah restoran nasi kandar di Taman Chai Leng, Seberang Perai Tengah.

Hasil siasatan polis mendapati kejadian sebenar berlaku pada jam 3.30 pagi pada 7 Ogos lepas.

Kumpulan lelaki itu dipercayai menggunakan beberapa objek sebagai senjata untuk menyerang sesama mereka.

Susulan itu tangkapan dibuat polis sejurus menerima laporan kes berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.