ALOR SETAR: Tiga lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di hadapan Kolej Sultan Abdul Hamid, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, ketiga-tiga suspek ditahan ketika sedang menarik kabel daripada sebuah lubang untuk dinaikkan ke atas lori pada jam 3.30 pagi tadi.

“Kegiatan semua suspek sudah dikenal pasti dan diburu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan sepasukan anggota telah bertindak menyerbu selepas melihat ketiga-tiga suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil serbuan polis merampas sejumlah kabel TM yang telah dipotong, alat pemotong kabel (cutter), alatan lain dan sebuah lori,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, ketiga-tiga suspek berusia 26 hingga 44 tahun direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 13 Mei untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 7 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.