KOTA BHARU: Tiga lelaki berusia 20-an dikesan bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian besi penebat kilat sepanjang 58 meter dipercayai diambil di bangunan Troika Residensi, di sini jam 9 pagi pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian itu disedari oleh pengawal keselamatan semasa menjalankan tugas rondaan di tingkat 37.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, kami mendapati terdapat tiga lelaki yang dirakam.

"Mereka dipercayai boleh membantu siasatan terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, individu terlibat dan mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Sarjan Mohd Riduan Zakaria ditalian 09-7752200/017-5889069 atau mana-mana balai polis berhampiran. -Sinar Harian