KUCHING: Tiga individu maut dalam satu kebakaran melibatkan sebuah rumah di Jalan Bunga Tongkeng di sini, malam ini.
  
Mangsa dikatakan sempat membuat panggilan telefon dan video memaklumkan mereka terperangkap, sebelum ditemui maut dalam satu kebakaran terbabit.

Menurut salah seorang saksi, Mohd Edruce Abdul Hamid, dia menerima panggilan video daripada rakan sekerjanya memaklumkan apa yang berlaku.

Sementara itu, menurut Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Datu Khiruddin Drahman, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.03 petang.

Berdasarkan maklumat awal, identiti mangsa yang maut dipercayai bekas Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Affendi @ Pandi Keli, 69.

Dua mangsa lain ialah anaknya Aneeqa, 35, dan anak saudaranya Nor Hasyidah Ajis, 22.

Kesemua mayat mangsa telah dikeluarkan sekitar jam 9.20 malam.

Kata Khiruddin lagi, api dipercayai marak cepat disebabkan terdapat banyak bahan mudah terbakar di dalam rumah dua setengah tingkat itu.

Kecuali mayat Affandi yang sedikit melecur pada tangannya, ketiga-tiga mangsa masih sempurna telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk prosedur bedah siasat.