KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan sejak tengah hari menyebabkan beberapa lokasi di tiga negeri dinaiki air, namun hanya sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka malam ini.

Lokasi berkenaan ialah Kuala Kubu Bharu di Selangor; Nilai, Seremban dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan serta Baling di Kedah.

Di SELANGOR, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Norazam Khamis berkata pihaknya menerima laporan banjir kilat kira-kira 6 petang tadi membabitkan Kampung Jawa, Kampung Pasir dan Ladang Estet Kerling, Sungai Dua Kerling di Kuala Kubu Bharu.

Beliau berkata paras air di kawasan terjejas adalah kira-kira 1.8 meter dan tiada PPS dibuka setakat ini.

Di NEGERI SEMBILAN, kira-kira 10 rumah terjejas dalam kejadian banjir kilat akibat hujan lebat sejak tengah hari tadi di Kampung Sungai Mahang, Nilai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Bakarya Mohd Salleh berkata 10 rumah dilanda banjir selepas paras air naik melebihi 1.2 meter.

Dalam pada itu, lima individu berdepan detik cemas apabila kenderaan jenis Toyota Avanza dinaiki mereka dibawa arus banjir di Kampung Dingkir Inas, Kuala Pilah kira-kira 5.30 petang tadi.

Pegawai Operasi Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah Abdul Halim Mohd Yusof berkata bomba dibantu orang awam berjaya menyelamatkan dua wanita, dua kanak-kanak dan seorang bayi yang terperangkap dalam kenderaan berkenaan.

Tinjauan Bernama di kawasan Batu 6 Jalan Jelebu, Pantai di Daerah Seremban pula mendapati terdapat beberapa kawasan dinaiki air, namun tiada PPS dibuka setakat ini.

Di KEDAH, sebuah PPS dibuka malam ini di Baling iaitu Sekolah Kebangsaan Tawar bagi menempatkan penduduk dari 22 rumah yang terjejas akibat banjir kilat selepas hujan lebat tengah hari tadi.

Ketua Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Kapt (PA) Saifuddin Abdullah berkata PPS itu dibuka pada 8.10 malam dengan mangsa melibatkan penduduk di Kampung Padang Setol, Mukim Tawar.

"Pihak kami mendapat maklumat daripada Penghulu Mukim Tawar mengenai banjir di kampung berkenaan dengan terdapat mangsa terperangkap kira-kira 8 malam tadi. Sehingga kini, jumlah mangsa dan bilangan keluarga masih dalam pengiraan," katanya dalam satu kenyataan.

-- BERNAMA