KUALA LUMPUR: Tiga peguam termasuk Datuk Mohd Zaid Ibrahim menyaman Badan Peguam Malaysia dan presidennya berhubung kenyataan memfitnah yang mendakwa mereka menyalah guna dan mencemarkan sistem keadilan semasa mengendalikan rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes berkaitan dana SRC International Sdn Bhd.

Peguam Lim Qi Si, yang mewakili ketiga-tiga plaintif berkata, ketika pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nuur Fatimahtul Zuhra Khairuddin hari ini, mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 13 Dis ini.

"Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua defendan memfailkan pernyataan pembelaan mereka pada atau sebelum 7 Nov dan plaintif perlu menjawab pembelaan itu pada atau sebelum 28 Nov," kata peguam itu ketika dihubungi.

Dalam pernyataan tuntutan, ketiga-tiga plaintif mendakwa pada 19 Ogos lepas, defendan kedua (Cheah) telah secara salah dan berniat jahat menerbitkan kenyataan akhbar bertajuk "Abuse of Process Brings Disrepute to Our Justice System" pada laman web rasmi defendan pertama dan kenyataan itu turut diterbitkan oleh The Edge Markets, Malay Mail dan The Star.

Mereka mendakwa, kenyataan akhbar itu antara lain membawa maksud mereka telah menyalahgunakan proses mahkamah dan melakukan salah laku profesional dengan menerima kes daripada Najib serta perlu menghadapi prosiding tatatertib kerana menjatuhkan maruah profesion guaman.

Ketiga-tiga peguam itu mendakwa, defendan gagal atau enggan menghubungi mereka untuk mengesahkan fakta-fakta sebelum mengeluarkan kenyataan akhbar selain tidak memberi peluang kepada plaintif untuk menyatakan pendirian daripada pihak mereka dan versi cerita mereka.

Dakwa kesemua plaintif, aduan salah laku terhadap mereka bagi pengendalian dalam kes rayuan Najib sepatutnya dibuat dan dirujuk terlebih dahulu kepada Lembaga Tatatertib di bawah Seksyen 99 (1) Akta Profesion Undang-undang, namun, kedua-dua defendan melanggar kewajipan berkanun mereka dengan mengeluarkan kenyataan akhbar itu.

Menurut plaintif, Seksyen 99 (1) akta itu memberikan kuasa eksklusif kepada Lembaga Tatatertib untuk menangani apa-apa perkara berkaitan dengan tingkah laku peguam bela dan peguam cara kerana ia secara nyata memperuntukkan bahawa apa-apa aduan sedemikian haruslah terlebih dahulu dibuat dan dirujuk kepada Lembaga Tatatertib.

Plaintif mendakwa, penerbitan kenyataan akhbar itu menyebabkan reputasi mereka tercemar selain menegaskan bahawa tindakan defendan melanggar kewajipan berkanun telah memprejudis plaintif.

Oleh itu, kesemua plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, faedah dan kos selain memohon satu injunksi bagi menghalang defendan pertama dan kedua atau ejen mereka daripada menerbitkan perkataan-perkataan serupa yang bersifat fitnah terhadap plaintif-plaintif.

Bagaimanapun, pada 19 Ogos, Najib telah menamatkan perkhidmatan ZIST sebagai peguam caranya.
- BERNAMA