KINABATANGAN: Tiga pekerja melecur selepas bahagian dapur sebuah restoran di Kampung Gumantong Jaya, di sini, terbakar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mereka yang berusia antara 20 hingga 44 tahun melecur pada muka, kaki, tangan dan leher.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan jam 3.19 petang, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan digerakkan ke tempat kejadian.

"Kebakaran melibatkan dapur memasak jenis kekal terbakar 10 peratus. Kebakaran telah dipadamkan oleh orang awam sebelum jentera tiba di lokasi.

"Terdapat tiga mangsa terlibat mengalami kecederaan melecur dihantar ke hospital sebelum ketibaan jentera untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan di lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain.

"Operasi terkawal pada 4.22 petang dan operasi tamat sepenuhnya dua minit kemudian," katanya.