NILAI: Polis menerima tiga laporan berhubung kejadian pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah agama (SMA) berasrama penuh di Nilai yang dipercayai dibuli dan dipukul oleh pelajar senior.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pihaknya telah mengesan dua pelajar senior yang dipercayai terlibat dan sedang mengenal pasti penglibatan pelajar lain dalam kejadian itu.

“Pihak polis telah menerima tiga laporan semalam daripada tiga pelajar tingkatan dua yang mendakwa mereka telah dipukul oleh pelajar yang lebih senior sehingga menyebabkan kecederaan di beberapa bahagian badan.

“Siasatan awal juga telah mengenal pasti dua pelajar senior tingkatan empat yang dipercayai boleh membantu siasatan dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kecederaan yang dialami dalam insiden berkenaan didakwa menyebabkan mangsa-mangsa terlibat terpaksa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).

“Siasatan lanjut khusus dalam mengenal pasti punca kejadian serta pelajar lain yang terlibat sedang dijalankan dan kesemua mangsa telah menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai untuk tidak memanipulasikan kejadian ini sehingga boleh menyebabkan kegusaran awam yang mana perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tambahnya.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.