MELAKA: Tiga pengunjung Zoo Melaka cedera selepas dihempap pokok tumbang ketika berkunjung ke lokasi pelancongan tersebut semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira 2.40 petang itu, seorang lelaki berusia 43 tahun patah kaki kanan, manakala seorang wanita dan anak lelakinya masing-masing berusia 40 dan enam tahun mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata kejadian itu berlaku ketika ketiga-tiga mangsa berada di kawasan kandang harimau.

"Mereka sebelum itu menaiki kenderaan disediakan pihak zoo pada 2.05 petang dan sebaik tiba di kawasan kejadian tiba-tiba sebatang pokok tumbang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut manakala pihak Zoo Melaka dan agensi berkaitan mengambil langkah pantas membersihkan kawasan berkenaan.

--BERNAMA