TIGA petugas media wanita ditembak mati di bandar Jalalabad, timur Kabul, Afghanistan, pada Selasa, menimbulkan ketakutan dalam kalangan pekerja profesional di pusat bandar itu.

Ketiga-tiga mangsa merupakan lulusan sekolah tinggi, berumur antara 18 dan 20 tahun, bekerja di bahagian dubbing suara, stesen penyiaran Enikas TV.

Perkara itu disahkan ketua stesen televisyen itu, Zalmai Latifi, menurut laporan Reuters.

Menurut sumber kerajaan, mangsa dibunuh ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Saksi berkata, mereka telah ditembak di kepala oleh lelaki bersenjata yang kemudiannya berjaya melarikan diri.

Sementara itu, seorang wanita keempat turut cedera dan sedang menerima rawatan di hospital.

Menurut jurucakap hospital, dia berada dalam keadaan kritikal.

Ketua polis daerah Juma Gul Hemat berkata, suspek penyerang utama, dipercayai ada kaitan dengan pemberontak Taliban, telah berjaya ditangkap.

Jurucakap Taliban bagaimanapun menafikan kumpulan itu terlibat dalam serangan itu.