YAN: Tiga pusat peranginan di daerah Yan masih ditutup untuk dikunjungi orang ramai.

Lokasi terbabit ialah Titi Hayun, Seri Perigi dan Batu Hampar ditutup kepada orang ramai sejak Ogos lalu berikutan kejadian kepala air.

Tinjauan di lokasi hari ini mendapati kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah sebelum ini kini dipenuhi batu di tengah jalan akibat dihanyut air dalam kejadian limpahan air deras dari Gunung Jerai susulan hujan lebat pada Rabu.

Malah tinjauan mendapati terdapat aliran air yang baru dikesan menyebabkan hakisan selain jalan raya yang mendap.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, selain itu juga, kawasan Gunung Jerai turut ditutup untuk kerja pembinaan semula jalan dan pembersihan.

"Kita telah menutup kawasan ini untuk kunjungan orang ramai.

"Selain itu, dengan cuaca tidak menentu dalam dua tiga hari ini, kita nasihatkan penduduk di kawasan rendah dan kawasan sering terjejas banjir supaya bersiap sedia," kata Shahnaz ketika melakukan pemantauan di kawasan Titi Hayun, hari ini.

Sementara itu, menurut Pegawai Daerah Yan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah, kerja-kerja membersih dan mendalamkan sungai tersebut yang cetek selepas kejadian kepala air pada 18 Ogos lalu sedang dilakukan.

Kontraktor masih menjalankan kerja-kerja mendalamkan serta mengalih batuan yang ada di dalam sungai.

"Yang pertamanya mereka akan pastikan aliran sungai itu masuk balik ke laluan asal.

"Yang keduanya, bahagian tebing yang kita tengok runtuh itu, mereka perbaiki.

"Yang ketiganya, sudah tentu mereka akan dalamkan sungai tersebut. Proses ini JPS sedang melakukan kerja-kerja tersebut," kata Tunku Iskandar.

Kejadian kepala air di Yan pada 18 Ogos lalu telah mengorbankan enam nyawa selepas mangsa dibawa arus deras bersama bongkah batu dan kayu.

Kejadian itu juga turut mengakibatkan kediaman penduduk terjejas dan mengalami kerosakan selepas dilanda banjir lumpur.