PASIR MAS: Sebanyak tiga Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang ditubuhkan sebagai inisiatif untuk menangani isu berkaitan keganasan rumah tangga serta masalah sosial, dijadualkan mula beroperasi pada suku pertama 2022.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata PSSS berkenaan melibatkan Kelantan, Selangor dan Johor dengan peruntukan RM21 juta bagi kos penyelenggaraan kompleks atau bangunan milik agensi kerajaan terlibat bagi tujuan penubuhan pusat itu.

Beliau berkata peruntukan tersebut turut membabitkan pewujudan PSSS Mobile (pusat sokongan bergerak) di Zon Utara, Selatan, Tengah, Timur, Sarawak, Sabah dan Putrajaya yang akan menumpukan kawasan padat penduduk seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan ia dijangka mula memberi perkhidmatan pada bulan depan.

"PSSS ini merupakan salah satu inisiatif KPWKM untuk menangani isu keganasan rumah tangga dan isu berkaitan masalah sosial dengan pusat ini akan turut menempatkan unit bimbingan dan kaunseling.

"PSSS ini juga menyediakan penempatan sementara bagi mangsa-mangsa yang memerlukan penempatan. Selain itu, kita juga dapat bantu mereka secara bersemuka dan juga intervensi serta perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga serta lain-lain bentuk bantuan kebajikan bagi jangka masa panjang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di tapak penubuhan PSSS dan majlis penyerahan kunci daripada Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Kelantan Mohd Rakbi Mat Saud sebagai simbolik pembangunan pusat berkenaan di Kuarters Kampung Kastam di Rantau Panjang, dekat sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri KPWKM merangkap Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua Setiausaha KPWKM Dr Maziah Che Yusof.

Mengulas lanjut, Rina berkata beberapa kakitangan KPWKM juga akan ditempatkan di setiap PSSS bagi menjadikan pusat itu sebagai satu kompleks untuk kementerian berkenaan sekali gus dapat mendekatkan KPWKM dengan masyarakat setempat.

Menjelaskan pengambilalihan Kuarters Kampung Kastam, beliau berkata ini merupakan langkah strategik untuk mengurangkan kos serta mempercepatkan penubuhan PSSS berbanding membangunkannya di bangunan baharu.

"PSSS di Kuarters Kampung Kastam ini adalah pertama di Kelantan. Sementara bagi Selangor dan Johor masih lagi dalam proses untuk mengenal pasti kawasan dan lokasi.

"Tempat alihan ini melibatkan Kompleks Kerajaan dan tanah milik kerajaan, jadi KPWKM guna pakainya," katanya.

-- BERNAMA