Tiga rakan dikhuatiri lemas ketika memancing, mandi-manda di Sungai Sempit

Abd Razak Mohd Ali
Februari 12, 2024 08:16 MYT
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 3.26 petang. - Foto Astro AWANI
MANJUNG: Tiga orang rakan dikhuatiri lemas ketika sedang memancing dan mandi-manda di Sungai Sempit, Kampung Tanjung Batu Segari, Pantai Remis, di sini petang ini.
Dari maklumat awal, mangsa dikenali sebagai Darma, 14, Sarath, 16, dan seorang lagi rakan mereka yang masih belum diketahui identitinya yang juga berusia 16 tahun.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon yang mengesahkan kejadian berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 3.26 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis telah dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan itu.
“Kami terima makluman daripada sistem MERS 999 berlaku satu kes tiga mangsa lemas di Kampung Acheh, Segari-Sitiawan.
“Jentera bantuan BBP Pantai Remis telah diarah ke lokasi memandangkan jentera BBP Sitiawan sedang menghadiri kes api lalang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Muhamad Hanafi Mohamed Rasidi.
#tiga lemas #Kampung Acheh #manjung