KULAI: Polis menyelamatkan tiga remaja perempuan berusia antara 13 hingga 15 tahun dipercayai dieksploitasi sebagai hamba seks dalam serbuan di sebuah premis kecantikan di daerah ini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, menerusi serbuan Op Noda jam 2.40 petang itu, polis turut menahan seorang wanita warga asing dan seorang lelaki tempatan berusia 38 dan 29 tahun disyaki terlibat dalam aktiviti persundalan dan pelacuran.

"Hasil ujian saringan air kencing ke atas salah seorang suspek didapati positif dadah. Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat.

"Tiga remaja yang diselamatkan itu pula dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurut Beng Yeow, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Aptisom, Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 373 (1) ( b) Kanun Keseksaan, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/ 1963 dan Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976.


*Berita asal di Sinar Harian