Tiga saintis wanita tempatan diberi penghormatan anugerah L’Oreal - UNESCO Fellowship For Women In Science (FWIS) sebagai pengiktirafan dalam usaha mereka menghasilkan kajian yang inovatif.

Projek yang mereka hasilkan melangkaui sempadan dalam bidang sains merangkumi kajian seperti memajukan ketepatan ramalan risiko kanser, kajian pencegahan masalah berat badan berlebihan, dan kejuruteraan bahan.

Tiga wanita itu termasuk Shivaani Mariapun dari University of Nottingham Malaysia bagi hasil kajiannya dalam kepadatan mamografi dan risiko kanser payudara dalam kalangan wanita Asia.

Hasil kajian Shivaani untuk mencipta sebuah model yang mampu membuat ramalan risiko yang lebih tepat serta membentuk sebuah strategi pemeriksaan yang lebih efektif untuk pengesanan awal berpotensi untuk menyelamatkan jutaan nyawa.

Seorang lagi pemenang bagi tahun ini, Dr. Lim Way Foong dari Universiti Sains Malaysia yang berazam untuk mencipta sebuah versi alternatif untuk menggantikan sinaran LED.

Dalam pada itu, anugerah tersebut turut dianugerahkan kepada Dr. Wan Iryani Wan Ismail dari Universiti Malaysia Terengganu bagi hasil kajiannya dalam pengawalan berat badan menggunakan madu.

Hasil kajian Dr. Wan Iryani telah menunjukkan bahawa penggunaan madu tulen dan asli dapat mengurangkan berat badan yang berlebihan serta merendahkankan biopenanda obesiti dalam model haiwan yang digunakan.

Ketiga-tiga mereka juga diberi wang geran berjumlah RM30,000 bagi membantu melanjutkan projek mereka.

Sejak awal pertubuhan, lebih daripada RM1 juta wang geran telah dianugerahkan kepada lebih daripada 40 saintis wanita sebagai pengiktirafan pencapaian mereka dalam bidang sains.

Majlis penganugerahan itu turut diserikan dengan kehadiran Puteri Selangor, Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah.