Tiga sebab telah dikemukakan oleh Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah untuk pelantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, sebab utama adalah kerana komponen Pakatan Rakyat hanya mengemukakan satu nama sebagai calon Menteri Besar baru.

Selain itu, pelantikan itu juga berdasarkan pengalaman Khalid yang pernah menjawat jawatan berkenaan sebelum ini.

“Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pernah menjadi Datuk Menteri Besar Selangor sebelum ini dan pengalamannya sebagai Menteri Besar boleh membantu melicinkan pentadbiran kerajaan negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu diedarkan kepada pengamal media sebaik majlis angkat sumpah Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar Selangor di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, hari ini.

Jelasnya pelantikan itu juga memenuhi syarat sebagai Menteri Besar Selangor mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

Tambah Mohamad, kelewatan melantik Menteri Besar Selangor yang baharu juga kerana Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menunggu senarai nama calon Menteri Besar oleh komponen Pakatan Rakyat.

“Sultan Selangor menunggu calon-calon Menteri Besar untuk dikemukakan oleh ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat di samping Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah pernah menyatakan sebelum ini bahawa calon Menteri Besar tidak semestinya Tan Sri Khalid Ibrahim apabila Pakatan Rakyat memenangi PRU 13,” kata Mohamad.

“Justeru itu Sultan Selangor telah menunggu parti-parti komponen PR mengemukakan calon Menteri Besar dan akhirnya berpuashati bahawa hanya seorang calon sahaja yang dikemukakan,” jelasnya.