Tiga wakil Pemuda yang dipilih ke Majlis Tertinggi UMNO (MT) diharapkan dapat mengambil peluang dalam menyuarakan suara pergerakan itu ke peringkat yang lebih tinggi.

Penganalisis Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin menyifatkan meskipun hanya tiga dari empat calon Pemuda UMNO iaitu, Datuk Razali Ibrahim, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Sohaimi Shahdan yang dipilih mewakili Majlis Tertinggi dalam pemilihan Sabtu, ini adalah peluang kepada mereka untuk menunjukkan keupayaan mereka dalam mewakili suara-suara Pemuda dalam parti itu.

“Meskipun dalam lingkungan mereka itu merupakan wakil-wakil yang lebih senior dan berpengalaman, mereka janganlah pula ‘dituakan’ dengan keadaan sekeliling mereka dan jika mereka tidak mengambil peluang ini maka gagallah misi Pemuda dalam menghantar mereka ke peringkat lebih tinggi,” kata Dr Shaharuddin.

Tambah beliau lagi, kepimpinan peringkat pusat pula harus memberikan ruang kepada wakil Pemuda ini agar mereka dapat menyuarakan pandangan-pandangan yang mungkin agak progresif dan berbeza sedikit dari MT.

“Harus ada keterbukaan di peringkat MT itu dan ianya harus datang dari ketiga-tiga mereka itu kerana mereka membawa aspirasi Pemuda dan membuka ruang-ruang besar kepada Pemuda dalam parti. Lazimnya, pemikiran Pemuda ini tidak dominan dalam konteks pimpinan UMNO keseluruhannya,” kata beliau lagi.

Selain itu beliau berpendapat Presiden Parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus juga memberi peluang kepada Pemuda dalam mengekspresi pandangan mereka.

Dr Shaharuddin turut mengulas mengenai ‘tweet’ Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang memberitahu bahawa beliau sedang mencari beberapa profesional muda yang berada luar dari UMNO untuk dibawa menyertai Exco Pemuda.


“Ini merupakan langkah yang bijak kerana Khairy berkemungkinan mahukan satu pemikiran yang berada di luar kotak UMNO supaya pandangan berbeza itu dapat diwujudkan dan pandangan inilah dapat disesuaikan dengan gagasan pemikiran Generasi Y dan sekaligus dapat menarik orang-orang muda supaya lebih untuk menyokong UMNO

Di kalangan UMNO sendiri sudah ada profesional muda seperti peguam, arkitek dan juga ahli korporat dan bukanlah ahli politik semata-mata dan jika pandangan setara dari dalam gagasan UMNO itu sahaja yang diambil, maka tidaklah wujudnya kepelbagaian pemikiran malah ianya akan hanya menonjolkan kesamaan pemikiran semata-mata.