THAILAND berusaha mengesan 200 individu yang menjadi kontak rapat tiga warganya yang pulang menggunakan lorong tikus dari Myanmar sebelum didapati positif COVID-19.

Reuters melaporkan tiga wanita itu tidak melalui pemeriksaan imigresen di utara Thailand selain mengelak perintah kuarantin wajib bagi semua individu yang masuk dari luar negara.

Gabenor wilayah, Prachon Pratsakul, berkata ketiga-tiga mereka kemudian mengunjungi banyak tempat sebelum disahkan positif virus berkenaan.

“Seramai 356 individu di wilayah Chiang Rai dan Chiang Mai terdedah kepada individu yang dijangkiti virus itu, antaranya kakitangan dan pelanggan hotel, pusat bel belah, panggung wayang, restoran serta pengguna perkhidmatan pengangkutan awam van dan teksi,” katanya dalam satu sidang media.

Lebih 150 orang sudah menjalani saringan dan didapati negatif, dan usaha mengesan yang lain sedang giat dijalankan.

Seorang daripada mereka dilaporkan tiba di Chiang Rai pada 24 November lalu, dan pergi ke Chiang Mai sebelum mengalami gejala dan dimasukkan ke hospital.

Dua lagi wanita tiba di Thailand pada 27 November lalu sebelum menjalani ujian saringan dan didapati positif COVID-19.

Negara Gajah Putih telah melaksanakan kawalan sempadan yang ketat untuk mengawal penularan dan berjaya mengekalkan kes kumulatif positif COVID-19 sebanyak 4,000 kes dan 60 kematian setakat ini.