KUBANG PASU: Timbalan Ketua Polis Kedah dan isteri terselamat apabila konvoi kenderaan yang membawa mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler  di Kilometer 17.3 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, Jalan Changlun-Alor Setar, berhadapan stesen minyak Napoh di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintendan Mohd Mahiri Hussin berkata, dalam kejadian pukul 3.50 petang itu, Datuk Mohd Roze Shaari bersama isteri Datin Norfaizah Zainal serta pemandunya, Koperal Mohamad Shukri Abu Saman menaiki Proton X70.

Manakala sebuah lagi kenderaan jenis Proton Persona dinaiki seorang anggota dan pegawai Kebajikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah berpangkat Asisten Superintendan serta pemandu.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila konvoi kenderaan PDRM ingin membelok ke kiri masuk ke simpang di sebelah kiri jalan dan secara tiba-tiba dilanggar sebuah treler yang bergerak dari arah belakang tidak nampak dan sempat membrek lalu melanggar dua kenderaan jabatan.

"Akibat perlanggaran itu, pemandu kereta Proton Persona, Koperal Mohd Azahari Azizan mengalami kecederaan di bahagian kaki dan sakit di dada akibat hentakan pada stereng kereta,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.



Jelas Mohd Mahiri, pemandu terbabit dikejarkan ke Hospital Jitra (HJ) dan kini dilaporkan stabil.

Sementara yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.