KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat ditangguhkan kira-kira lima minit selepas Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan perbicaraan kes remaja kelainan upaya (OKU) Bella, sebak selepas melihat tayangan dua video yang memaparkan kecederaan dialami remaja itu.

Dua rakaman video berdurasi enam minit 32 saat dan 41 saat itu dimainkan Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas pada sesi pemeriksaan utama di hadapan Hakim Izralizam Sanusi pada Jumaat ketika keterangan saksi pendakwaan ke-10 Inspektor Mior Samsul Abd Rahman yang merupakan Juruanalisa Unit Siasatan Audio Video, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) diambil.

Kedua-dua video itu adalah rakaman asal semasa Bella diselamatkan dan kecederaan dialami remaja itu yang dianalisis oleh saksi berkenaan.

Menurutnya, pada 22 Julai 2021, beliau menerima permohonan analisis barang kes yang dihantar iaitu telefon bimbit jenis iPhone dan kad sim jenama Maxis.

"Pada 9 Ogos 2021, kira-kira pukul 9 pagi, saya telah menjalankan proses mengekstrak data yang dikehendaki daripada telefon pintar menggunakan perisian XRY. Fail yang dikeluarkan adalah dua buah video yang masing-maisng berdurasi enam minit 32 saat dan 41 saat.

BACA: Siti Bainun menangis lihat kelibat Bella di mahkamah

"Merujuk kepada permohonnan pegawai penyiasat, saya telah capture dan menganalisis imej yang dikehendaki daripada video yang dikeluarkan daripada telefon bimbit dengan kaedah zooming dan sharpness menggunakan perisian yang dinamakan 'video investigator'," katanya.

Perbicaraan bersambung pada 29 Jun ini.

Pada 20 Ogos 2021, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.