KUALA LUMPUR: Sekumpulan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menubuhkan gabungan Pelan Bertindak Rakyat (Tindak!) bertujuan menggerakkan sokongan besar-besaran kepada rangkaian Pelan Tindakan Kecemasan, terutama dalam sektor kesihatan dan ekonomi.

Tindak! dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, langkah itu susulan keadaan COVID-19 yang semakin memburuk dalam negara terutamanya di Lembah Klang.

“Pelan Tindakan Kecemasan ini disediakan oleh kelompok pakar berkenaan dasar yang bersifat bebas dengan rangka polisi terperinci yang perlu dilaksanakan segera dan tanpa penangguhan.

“Kegagalan melaksanakan polisi seperti ini akan mengakibatkan jumlah kematian meningkat dan kadar jangkitan COVID-19 yang lebih tinggi serta memburukkan lagi isu kemelaratan hidup akibat tekanan ekonomi.

“Walaupun kita tidak perlu menimbulkan rasa panik dan cemas namun pihak pemerintah seolah-olah tidak menganggap masalah ini serius. Sekiranya mereka tidak bertindak dalam keadaan penuh kewaspadaan dan serius, maka rakyat akan melakukan sesuatu untuk mereka berwaspada,” dakwa mereka dalam kenyataan itu.

Antara ahli Tindak! termasuk Presiden Belia Islam Malaysia, Faisal Aziz; Timbalan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin; Penyelaras Projek #BangsaMalaysia, Nathaniel Tan; Pengerusi Inisiatif Pengislahan Pendidikan Nasional, Datuk Tan Yew Sing dan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli.

Mengulas lanjut, Tindak! berkata, Pelan Tindakan Kecemasan dibuat sekumpulan pakar dasar kesihatan awam iaitu Datuk Dr Amar Singh-HSS, Dr Khor Swee Kheng, Profesor Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman dan Datuk Dr Zainal Ariffin Omar dan disokong beberapa pertubuhan dan individu lain.

Tindak! dalam masa sama akan mengkaji Pelan Tindakan Kecemasan itu dan meringkaskan tuntutan utama untuk tindakan lanjut dari perancangan yang akan digerakkan menerusi sokongan media.

Menurut Tindak!, sebagai inisiatif akar umbi dari rakyat, keprihatinan dan suara rakyat perlu didengari oleh semua pihak terutama membabitkan petugas bariasan hadapan COVID-19 yang semakin terbeban.

"Kita secara jelas memerlukan pendekatan menyeluruh masyarakat dan seharusnya memperakui tanggungjawab bersama untuk membawa penyelesaian menerusi pendekatan kepimpinan dari rakyat.

"Kami merancang untuk mengumumkan senarai tuntutan pada akhir minggu ini," kata mereka.