KUALA LUMPUR: Tindakan pantas yang diambil oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor berjaya memulihkan gangguan bekalan air yang berlaku di 463 kawasan di Selangor, pagi ini.

Siasatan LUAS berhampiran sebuah premis kilang jentera berat mendapati terdapat pelepasan efluen yang mengandungi air basuhan termasuk cecair seperti minyak yang disyaki mengalir masuk ke culvert sebelum memasuki Sungai Semenyih.

"Inisatif pencegahan oleh LUAS dengan meletakkan empat beg activated carbon dan oil boom bagi menahan sisa minyak daripada masuk ke dalam Sungai Semenyih.

"Tindakan kawalan segera dalam tempoh empat jam telah membolehkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih beroperasi semula pada jam 12.30 tengah hari.

"LUAS juga menjalankan pemantauan statik bermula jam 2 petang, dan pensampelan ujian bau dijalankan setiap satu jam menunjukkan keadaan air sungai normal dan bacaan bau adalah sifar. Pemantauan rapi dari semasa ke semasa masih diteruskan," kata Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian.

Beliau juga memaklumkan satu laporan polis juga telah dibuat LUAS di Balai Polis Seksyen 15, Shah Alam.

LRA Semenyih dihenti tugas pagi ini, membabitkan 463 kawasan di lima wilayah air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).