TUMPAT: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menjual ayam melebihi harga siling RM9.40 sekilogram yang ditetapkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa, yang juga ahli Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, berkata harga siling RM9.40 sekilogram juga masih kekal berikutan kerajaan masih meneruskan pemberian subsidi.

"Kalau ada mana-mana pihak menjual melebihi harga tersebut, pihak berkenaan akan diambill tindakan sewajarnya," katanya pada sidang media selepas melawat Laman Warisan Seni Kampung Laut dan Laman Warisan Serunding Kampung Laut, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Baidzawi Che Mat.

Sementara itu mengulas mengenai lawatan tersebut, Mustapa berkata projek pembangunan Laman Warisan Seni dan Laman Warisan Serunding melibatkan kos RM40 juta menempatkan 23 usahawan tempatan yang mengusahakan perniagaan serunding dan perniagaan kecil yang lain.



MUSTAPA-AYAM 2 (AKHIR) TUMPAT



"Menerusi 23 outlet di Laman Warisan Seni Kampung Laut dan Laman Warisan Serunding Kampung Laut tidak kurang 100 peluang pekerjaan ditawarkan kepada anak tempatan di sini," katanya.

Projek pembangunan Kampung Laut merupakan salah satu inisiatif ECERDC untuk mengekalkan tradisi perkampungan di samping meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat melalui peluang keusahawanan.

-- BERNAMA