BERA: Kerajaan bukan berniat mahu menyusahkan mana-mana pihak dengan mengenakan pelbagai peraturan ketika menangani pandemik COVID-19, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebaliknya, golongan yang enggan mengambil vaksin, tegas Perdana Menteri, hanya menyusahkan diri sendiri kerana tidak menikmati kemudahan yang diberikan kerajaan berbanding mereka yang telah lengkap vaksinasi.

Bahkan, tegas Ismail Sabri, golongan itu juga hanya menyusahkan diri sendiri apabila tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid, pasaraya dan merentas negeri berbanding penerima lengkap dua dos vaksin.

"Kalau tak nak lindungi diri sendiri tapi mesti fikirkan kepada orang lain yang akan dapat bahaya hasil daripada apa yang kita lakukan.

“Dan kerajaan sebenarnya dari segi prinsipnya kita wajib menjaga kepentingan ramai… kita wajib melindungi masyarakat yang ramai daripada menjaga kepentingan kumpulan yang amat kecil.

“Jadi kalau kerajaan mengenakan tindakan yang lebih tegas bermakna, tujuan kita bukan nak menyusahkan sesiapa tapi untuk menjaga kepentingan nyawa golongan yang ramai supaya kita dapat melindungi nyawa yang lain-lain," kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pemakaian Pangkat Ketua Polis Daerah Bera dan Timbalan Ketua Polis Daerah Bera pada Ahad.

Ismail Sabri mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang memberi bayangan bahawa kumpulan antivaksin akan berhadapan dengan kesusahan dalam hidup kerana tidak akan dibenarkan oleh kerajaan untuk menikmati apa-apa kelonggaran seperti individu lengkap vaksinasi.
BACA: Enggan divaksin? Kerajaan akan 'susahkan' hidup anda selepas ini - Khairy


Bahkan, kerajaan Arab Saudi juga mensyaratkan jemaah yang ingin melakukan ibadah umrah dan haji pada tahun hadapan mesti lengkap mengambil dua dos vaksin.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyeru golongan tersebut agar segera mengambil vaksin kerana itu merupakan tanggungjawab bukan sahaja untuk melindungi diri sendiri bahkan orang lain juga.