KUALA LUMPUR : Pendakwaan atau tindakan kompaun terhadap pelaku yang mendalangi isu pencemaran alam sekitar di salah satu kawasan di Pelabuhan Klang akan dilakukan dalam masa terdekat.

Exco Infrastruktur Dan Pertanian Negeri Selangor, Izham Hashim berkata, pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga telah membuat laporan polis dan kertas siasatan telah dibuka mengikut mengikut Seksyen 43 (4) Enakmen LUAS bagi kesalahan  menjalankan aktiviti tanpa kebenaran.

“Rakaman percakapan berkaitan saksi dan orang yang disyaki telah diambil dan kertas siasatan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan izin kompaun atau dakwa terhadap kesalahan yang dilakukan di dalam masa terdekat paling awal minggu ini.

“LUAS seterusnya telah mengeluarkan Notis Amaran di atas keingkaran pihak berkenaan yang masih menjalankan aktiviti serta memasang cordon tape bagi menyekat aktiviti penambakan daripada terus dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Izham berkata demikian bagi mengulas Laporan Khas yang diterbitkan Astro AWANI bertajuk ‘Zon penampan sungai dicabul pemusnah alam sekitar’ yang disiarkan baru-baru ini.

Ujarnya lagi, sebanyak dua notis larangan membabitkan pencerobohan tanah kerajaan telah dikeluarkan dalam memastikan sungai tidak terkesan.

“LUAS telah memohon kerjasama daripada Pejabat Daerah dan Tanah Klang (PDTK) serta Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi status dan penguatkuasaan aktiviti pembuangan sampah yang ditemui di kawasan tanah tersebut berdasarkan bidang kuasa masing-masing untuk memastikan tiada kesan signifikan kepada kualiti Sungai Che Wang.

BACA: [LAPORAN KHAS] Zon penampan sungai dicabul pemusnah alam sekitar

Pemerhatian Astro AWANI di kawasan berkenaan baru-baru ini mendapati kawasan sekeliling lokasi berkenaan tidak lagi seperti dahulu yang penuh dengan kehijauan berdasarkan paparan ‘Google Earth’ apabila ia telah bertukar menjadi lembangan sampah haram.

Permukaan tanah pula yang dipenuhi dengan sisa kabel industri yang berselirat termasuk ada yang telah dikisar yang kini seperti menjadi permukaan yang kekal.

Selain itu, pencemaran yang berlaku turut menjejaskan Sungai Che Wang sekali gus mendatangkan implikasi terhadap golongan nelayan yang terjejas pendapatannya.

Kerajaan Negeri Selangor menerusi kenyataan itu juga menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan seumpama itu dan tindakan akan diambil selari dengan undang-undang sedia ada.