AYER KEROH: Polis memburu seorang lelaki yang bertindak membuat panggilan palsu kononnya telah membunuh isterinya di sebuah rumah di Ayer Keroh, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan berkenaan dibuat seorang lelaki berusia 33 tahun menerusi panggilan telefon di Balai Polis Ayer Keroh kira-kira pukul 7.30 petang, Rabu lalu.

“Apabila menerima laporan itu, sepasukan 20 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi dan siasatan yang turut melibatkan Unit Forensik di sekitar kawasan perumahan terlibat bagaimanapun mendapati tiada sebarang kes jenayah dilaporkan.

“Pihak polis amat memandang serius perkara ini dan kita sedang mengesan lelaki berkenaan melalui nombor telefon yang digunakan,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut ujarnya, hasil siasatan juga mendapati alamat yang diberikan juga bukan rumah lelaki berkenaan dan milik individu lain.

“Setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana perbuatan sebegini menyebabkan pembaziran tenaga yang mana pihak polis perlu melakukan siasatan terhadap kes yang tidak berlaku.

“Pihak polis juga akan pastikan tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat sebagai pengajaran kepada masyarakat,” katanya lagi.