LANGKAWI: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berharap agar penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA '23) di masa hadapan dapat menarik lebih banyak penyertaan tentera laut dari luar.

Pengarah Kanan Perancangan dan Pembangunan Markas Tentera Laut Laksamana Pertama Yusne Mokhtar berkata ia kerana penyertaan tentera dari luar dalam program bertaraf antarabangsa itu membawa makna Malaysia mempunyai hubungan baik dengan negara yang terlibat sebagai peserta.

"...kita harap penyertaan lebih besar daripada tentera laut asing demi meningkatkan keselamatan maritim lebih terjamin, (ini kerana) apabila kita mendapat sahabat ramai kita boleh merasa lebih tenang dan kita mampu melaksanakan agenda-agenda selainnya seperti agenda ekonomi dan agenda politik yang lebih baik," katanya kepada Bernama.

Antara negara yang terlibat dalam segmen maritim LIMA '23 kali ini ialah Amerika Syarikat, Brunei, China, India, Indonesia, Itali, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Vietnam dan Thailand.

Mengulas mengenai sambutan pengunjung bagi segmen maritim LIMA '23 kali ini, Ketua Sekretariat Segmen Maritim LIMA '23 itu berkata kunjungan diterima amat menggalakkan dengan kehadiran pada hari ini mencatatkan sebanyak 24,000 pengunjung hadir bagi merasai pengalaman yang disediakan di Resort World Hotel Langkawi iaitu, lokasi segmen maritim diadakan.

"Walaupun begitu saya berpandangan untuk penganjuran LIMA seterusnya, ia harus dilaksanakan pada musim cuti sekolah bagi menarik lebih ramai pengunjung untuk hadir," katanya.

Beliau turut berharap segmen maritim dapat membuka mata pengunjung terhadap kepentingan keupayaan negara dari sudut maritim yang dapat menyumbang kepada kekayaan dan kemakmuran negara.

Segmen maritim, antaranya mempamerkan kemampuan tempur aset-aset ketenteraan dan agensi penguatkuasaan negara melalui demonstrasi yang dilakukan dan turut menonjolkan pameran berkaitan keupayaan mereka menerusi pameran statik.

LIMA '23 bermula pada 23 Mei dan berakhir hari ini. Bagi segmen aeroangkasa tiga hari pertama hanya dibuka kepada pelawat perdagangan manakala baki dua hari terakhir dibuka untuk orang awam namun bagi segmen maritim ia dibuka lima hari sejak hari pertama penganjuran program dwitahunan itu.

-- BERNAMA