Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melakukan penjimatan sebanyak RM34.5 juta dalam perbelanjaan rangsum makanan tentera, kata Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Dalam satu kenyataan media, beliau menjelaskan perbelanjaan sebenar TLDM bagi rangsum makanan adalah sebanyak RM13.46 juta sahaja daripada nilai keseluruhan kontrak RM47.96 juta.

Ini adalah 28.1 peratus daripada jumlah kontrak yang dimeterai bagi tempoh tahun 2010 hingga 2012.

“Perbezaan nilai kontrak yang sedia ada menunjukan berlakunya penjimatan dan bukannya kerugian kepada kerajaan.

“Penggunaan peruntukan yang rendah adalah disebabkan cara pengurusan TLDM yang mengikut dasar jimat cermat TLDM,” kata Abdul Aziz.

Laporan Audit Negara yang dikeluarkan pada Selasa mendapati bayaran lebih rendah itu berlaku kerana nilai kontrak yang diletakkan "terlalu tinggi berbanding berbanding nilai sebenar yang diperlukan oleh TLDM."

Kontrak berjumlah RM47.96 juta itu ialah 30 kontrak melibatkan TLDM yang dimeterai bagi tempoh tahun 2010 hingga 2012 dan menggunakan harga pada kadar siling.

Dalam maklum balasnya yang dimuatkan dalam laporan audit itu, Kementerian Pertahanan bersetuju supaya nilai kontrak itu dikaji semula selaras dengan nilai kegunaan rangsum yang sebenar termasuk bagi kontrak yang diperbaharui.

"Bagi kontrak-kontrak lain yang akan tamat kemudian tindakan yang sama akan dilaksanakan sewajarnya," kata laporan itu.

Laporan Audit Negara turut mendapati 23 kontrak yang dimeterai antara Kementeriaan Pertahanan dan kontraktor lewat ditandatangani antara 12 hingga 600 hari.

Isu kelewatan itu juga telah diambil tindakan oleh Kementerian Pertahanan.

Sementara itu, laporan berkenaan juga mendapati sebanyak 67 jenis rangsum kering bernilai RM180,000 tidak menepati syarat kontrak iaitu mesti ditanda dengan label "Makanan Angkatan Tentera" dan tarikh tamat tempoh.

Untuk itu, kontraktor yang terlibat telah dikenakan denda serta diarah membekalkan semula rangsum gantian yang menepati spesifikasi.

Semakan audit itu juga mendapati masih ada rangsum kering yang disimpan biarpun sudah melebihi tarikh luput.

Laporan Audit Negara menasihatkan pihak kementerian supaya mengambil kira keperluan menu sebenar dan rangsum yang digunakan sepenuhnya bagi mengelak masalah sama berulang.