LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengekang cubaan pencerobohan 21 buah bot nelayan asing (BNA) daripada memasuki perairan negara berhampiran perairan Pulau Perak, Kedah kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Jurucakap Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat, TLDM, Lumut berkata penyaluran maklumat yang pantas menerusi Maritime Component Commander (MCC) Barat telah mengatur gerak aset terhampir, iaitu KD Jebat untuk ke lokasi pengesanan awal BNA tersebut.

"Setibanya di posisi pengesanan, KD Jebat mempamerkan kecekapan menerusi tindakan pengusiran ke atas tiga buah BNA di lapangan dan kekal membayangi BNA sehingga keluar meninggalkan sempadan perairan negara.

"Manakala baki 18 buah BNA lagi yang dilaporkan, dipercayai telah meninggalkan perairan negara setelah menyedari kehadiran dan keberadaan aset pertahanan maritim negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Foto ihsan TLDM

Terdahulu, pesawat B200T (RMF 377) milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya mengesan keberadaan 21 buah BNA di dua posisi berbeza, iaitu pada 36 batu nautika selatan Pulau Perak dan 40 batu nautika barat laut Pulau Jarak.

Justeru, katanya, maklumat pengesanan lantas disalurkan kepada komponen maritim bagi tindakan selanjutnya.

Foto ihsan TLDM

Jelasnya lagi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya tidak akan berkompromi dalam aktiviti yang melibatkan keselamatan dan ketidakpatuhan undang-undang negara.

Di samping itu, TLDM bersama-sama agensi penguat kuasa maritim lain sentiasa memperkasakan kesiapsiagaan aset-aset Op Benteng Laut demi menjaga perairan dan kedaulatan negara.

Foto ihsan TLDM