TMJ bebas kritik kerajaan, tetapi jangan langgar undang-undang - Tun M

Harits Asyraf Hasnan
April 9, 2019 10:50 MYT
DR MAHATHIR: Dia boleh buat keputusan sendiri; dia mahu berpolitik, boleh, tiada apa yang menghalang rakyat Malaysia mengutarakan pandangan. - Gambar fail
Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bebas untuk menyuarakan pandangannya termasuk mengkritik terhadap kerajaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan tindakan boleh diambil sekiranya ada kenyataan yang dibuat melanggar undang-undang.
“Dia boleh bercakap seperti orang biasa. Kita anggap dia seperti orang biasa, dia boleh kritik terhadap kerajaan. Asalkan dia tidak melangkah undang-undang.
“Kalau dia buat kenyataan yang dianggap (sebagai) hasutan, kita akan ambil tindakan terhadap dia, dia masih tertakluk di bawah undang-undang.
"Malah, tiada siapa di Malaysia bebas daripada undang-undang,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
BACA: Titah untuk tukar Menteri Besar Johor sudah lama dibuat - TMJ
Terdahulu, Dr Mahathir mengesahkan Datuk Osman Sapian meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Tunku Ismail memuatnaik kenyataan di Twitter memaklumkan bahawa titah supaya Osman ditukar telah lama dibuat.
BACA: 'Pelabur tak percaya bukan sebab Statut Rom, tapi polisi macam 'yoyo' - TMJ
Ditanya sama ada Tunku Ismail perlu menyertai politik selepas dilihat sering mengeluarkan kenyataan bertentangan kepimpinan dan polisi Putrajaya, jawab Dr Mahathir:
“Dia boleh buat keputusan sendiri. Dia mahu berpolitik, dia boleh. Tiada apa yang menghalang rakyat Malaysia mengutarakan pandangan. Dia juga rakyat Malaysia, tidak lebih dari itu,” jelas Dr Mahathir.
BACA: Jika perjanjian antarabangsa bagus, mengapa rakyat Palestin masih dizalimi? - TMJ
#kerajaan #Mahathir Mohamad #Osman Sapian #politik #TMJ #Tunku Ismail Sultan Ibrahim #undang-undang